Friday, September 21, 2012

Membilang Mengikut Tertib Menaik Dan Menurun

Kemahiran membilang atau menyebut nombor mengikut turutan adalah kemahiran yang biasa diperolehi kanak-kanak sebelum ke prasekolah. Mereka biasanya akan belajar membilang satu hingga lima, kemudian satu hingga sepuluh dan seterusnya satu hingga dua puluh. Mereka akan menggunakan objek yang berada di sekeliling untuk belajar membilang sebagai contohnya membilang jari, membilang kereta mainan ataupun membilang biskut.

Setelah kanak-kanak dapat membilang dengan lancar dan memahami persamaan objek dengan angka (contoh: 5 biji pisang sama dengan angka lima), kanak-kanak seharusnya belajar mengira mengikut tertib menaik dan kemudian menurun. Kemahiran ini penting bagi perkembangan ilmu matematik dan juga mempunyai kaitan secara langsung dengan operasi tambah dan tolak. Kesabaran, latihan yang berterusan dan memberikan pujian serta semangat akan membantu kanak-kanak memiliki kemahiran membilang secara menaik dan menurun ini.

Di bawah diberikan beberapa contoh aktiviti yang dapat dilakukan oleh ibu bapa untuk melatih kanak-kanak mengira nombor mengikut tertib menaik dan menurun:
a) Sepuluh Jari – Bilang sepuluh jari secara menaik. Kemudian tutup satu jari dan nyatakan bilangannya ‘sembilan’, kemudian tutup lagi satu jari dan nyatakan bilangannya ‘lapan’. Teruskan hingga satu. Ulang aktiviti ini beberapa kali dalam sehari.
b) Bilang Sepuluh Secara Lisan – Bilang nombor satu hingga sepuluh secara lisan. Kemudian tanya anak anda “Apakah nombor sebelum 9?”. Apabila anak anda dapat nyatakan dengan tepat, bilang bersama mulai nomber tersebut secara menurun hingga satu. Ulang aktiviti ini beberapa kali menggunakan nombor yang lain.
c) Langkah Sepuluh Tapak – Langkah sepuluh tapak sambil menyebut nombor satu hingga sepuluh. Kemudian langkah ke belakang sepuluh tapak sambil mengira secara menurun. Kali ini, minta anak anda melakukan sendiri sepuluh tapak kehadapan dan kemudian sepuluh tapak ke belakang sambil mengira.
Selamat mencuba!